Reallifegoeslikethis
reallifegoeslikethis
Lari
Saya sedang melarikan diri. Ke mana masih tak pasti. Cuma yang tahunya saya sedang melarikan diri.
Adalah biasa jika manusia melarikan diri tika perang. Ramai rakyat Vietnam ke negara lain apabila perang Amerika-Vietnam berlaku. Ramai juga rakyat Kemboja masuk Malaysia waktu perang. Ia normal. Dan begitulah yang terjadi pada saya. Sebab saya sedang 'berperang'.
Peperangan ini tidak melibatkan nuklear atau atom. Ia juga tidak melibatkan Apache atau B-2 Bomber. Tidak. Kerana ini peperangan jiwa, peperangan hati. Peperangan ini maha hebat juga, berdentam-dentum juga, cuma yang boleh dengarnya saya. Yang boleh merasainya saya.
........
Apabila sesuatu itu telah berlangsung terlalu lama, contohnya sketsa Pi mai Pi mai Tang tu atau Senario, ia akan jadi membosankan. Sudah hilang klimaks dan ia boleh diteka. Kalian pun mula hilang sabar dan tidak berminat lagi.
Bagaimana kalau hidup kita begitu? Bagaimana kalau anda, katakanlah: sudah 3 tahun dimomokkan dengan mati, dengan sakit, dengan ubat, dengan gagal periksa, dengan itu dan dengan ini?
Adakah kalian akan bosan?
Saya sejujurnya ya. Saya hidup selama ini semata-mata untuk terus hidup. Matlamat hidup saya adalah 'untuk hidup'. Saya bersyukur kerana saya sudah punya matlamat, sudah hidup tak umbang-ambing, tapi saya juga manusia. Saya tahu letih dan bosan.
.................
Masalah datang dan masalah pergi. Ia takkan berhenti. Sehingga hari ini, alhamdulillah saya masih tak putus asa menyelesaikan masalah. Adalah juga saya 'buat-buat tak nampak' dan 'cuba-cuba lari' namun saya bagaimanapun akan selesaikan masalah saya.
Namun lama-lama saya sudah jadi robot. Saya terlalu ideal, terlalu berkira, terlalu merancang dan terlalu takut untuk berperasaan. Perkataan 'terlalu' sudah cukup untuk menggambarkan bahawa saya sudah jadi ekstremis.
Saya tidak percayakan manusia kecuali diri saya sendiri. Itulah yang paling ikhlas boleh dikatakan. Pengalaman membuatkan saya pesimis terhadap manusia-manusia yang terlalu beremosi hingga tidak mampu menimbang baik-buruk hal dengan sempurna. Lalu saya jadi takut untuk bergantung hidup dengan orang, untuk berpasangan dengan orang dan untuk benar-benar berkongsi dengan manusia.
Kerana dibalik senyum itu sudah terlalu biasa ada niat tak terbaca.
.............
Doakan saya. Doakan saya akan terus kuat, tabah dan terus menjadi hamba Allah yang taat. Doakan saya tidak akan mengecewakan hati sesiapa pun apatah lagi hati ibu bapa saya.
Sesungguhnya saya benar-benar sedang berusaha.
1 Comments:
What a great site »
Post a Comment
<< Home